20090521

NOTA

AMARAN KERAJAAN MALAYSIA : jangan nangis..huhu


Harriz. Satu nama yang cukup aku kenal satu
ketika dahulu. Dia pernah menjadi suami aku.
Suami yang bergelar hanya pada nama tapi tidak
pernah memiliki sepenuhnya jiwa dan hati aku
ketika itu. Perkahwinan yang berlandaskan kertas
putih dengan seribu perjanjian yang boleh
menjatuhkan maruah seorang suami. Aku tahu,
Harriz tidak pernah mempersetujui dengan apa
yang aku lakukan sebelum kami mengikat tali
perhubungan yang suci. Namun, kerana sayang
dan cintanya pada aku dia menerima niat aku
tanpa sebarang bantahan yang keluar dari
mulutnya. Kenapa Izham tidak seperti Harriz?
Sungguh berbeza nilai dan peribadi mereka antara
satu sama lain.

Harriz terlalu baik tapi hati aku tidak dapat
menerima cintanya. Kenapa?.....Dia cukup
sempurna untuk menjadi seorang suami dan
pemimpin yang boleh menjaga aku sehingga ke
akhir hayat. Adakah aku yang terlalu bodoh untuk
menolak cintanya yang tulus dan ikhlas
menyayangi aku, atau keegoan aku yang
menguasai diri.

"Saya menerima awak bukan atas paksaan
sesiapa tapi hati ini yang ikhlas mencintai awak.
Saya tahu taraf awak dan saya berbeza ibarat
langit dan bumi tetapi untuk membahagiakan
awak, itu adalah jaminan saya sebagai bukti
bahawa saya menyayangi awak. Walaupun
kontrak kita hanya setahun tapi cinta saya sampai
ke mati.

"Biarpun kita akan berpisah nanti, namun untuk
menghilangkan ingatan saya terhadap awak
adalah amat sukar. Sekali saya dah letakkan
awak dalam hati saya bermakna awaklah gadis
pertama dan terakhir yang saya cintai walau awak
membenci saya seumur hidup awak......"

Kata-kata itu masih aku ingat sampai sekarang.
Keegoan aku ketika itu mulai luntur tapi hati aku
keras. Aku menolak cintanya mentah-mentah
kerana bagi aku, lelaki mudah mengeluarkan kata-
kata manis namun untuk membuktikannya adalah
satu dalam sejuta. Aku tidak mempercayai Harriz.
Bagi aku, Izham lelaki pertama yang mencuri hati
aku adalah terlalu sempurna untuk aku. Aku
bertemu dengan Izham sewaktu kami
menyambung pengajian di London. Izham bijak
memainkan kata-katanya dengan rupa parasnya
yang kacak itu untuk menambat hati aku. Hanya
dunia sahaja yang tahu bagaimana gembiranya
hati aku ketika itu dapat berpasangan dengan
Izham , seorang lelaki yang menjadi rebutan gadis-
gadis lain di luar sana.

Hampir dua tahun hubungan kami terjalin. Tiada
sebarang masalah di antara kami sepanjang
perhubungan itu. Pertengkaran kecil adalah
perkara biasa bagi kami. Seringkali juga kawan-
kawan aku menasihatkan supaya berpisah dengan
Izham kerana dia bukanlah seperti apa yang aku
sangka. Dia adalah Romeo. Banyak kali mereka
terserempak dengan Izham bersama gadis-gadis
lain. Aku yang bodoh kerana tidak pernah percaya
dengan kata-kata mereka. Pada fikiran aku ketika
itu, mereka terlalu cemburukan aku. Itulah
sebabnya mereka memfitnah Izham supaya
hubungan kami putus dan mereka boleh
mengambil kesempatan memenangi hati Izham.
Sehinggakan aku hampir hilang kawan hanya
semata-mata kerana terlalu mempercayai Izham.

Selepas tamat pengajian, aku pulang ke Malaysia.
Izham masih di London kerana tempoh
pengajiannya ada lagi setahun. Ketika itulah detik
hidup aku bersama Harriz bermula. Aku telah
dijodohkan dengan Harriz oleh ayahku.

Entah mengapa, ayah terlalu sukakan Harriz
sedangkan Harriz hanyalah pekerja bawahan ayah.
Dia bukanlah dari keluarga yang senang dan
setaraf dengan kami. Namun, ayah tidak
mengambil kira itu semua. Kata ayah, Harriz
mampu menjaga aku sebagaimana ayah dan ibu
menjaga, mendidik dan membesarkan aku. Dia
percayakan Harriz sehinggakan dia pernah berkata
segala hartanya termasuk aku akan diserahkan
kepada Harriz andai satu hari nanti dia pergi buat
selama-lamanya. Kepercayaan ayah terhadap
Harriz memang tiada batasan, begitu juga dengan
ibu. Aku tahu, ayah ada penyakit yang kronik iaitu
sakit jantung dan darah tinggi. Aku tak sanggup
untuk menolak permintaan ayah. Mereka adalah
segala-galanya untuk aku. Betapa perit dan
payahnya mereka membesarkan aku. Ayah juga
bukanlah dari keluarga yang senang tetapi berkat
kerajinan dan semangat ayah yang tinggi serta
dorongan ibu membuatkan aku dapat menikmati
hidup ini dengan segala kemewahan yang tak
dapat aku bayangkan. Tapi, aku juga inginkan
kehidupan aku sendiri.

Berhari-hari aku memikirkan keputusan ayah
samada untuk menerima atau sebaliknya.
Kesihatan ayah tidak mengizinkan aku untuk
berfikir lama. Akhirnya, persetujuan dibuat dan
dalam diam-diam aku juga turut membuat
perjanjian dengan Harriz lelaki yang tidak pernah
aku temui. Aku bencikan Harriz kerana aku
menyangka Harriz bukanlah seperti apa yang ayah
bayangkan. Dia mungkin mempunyai rancangan
yang besar untuk merampas kekayaan kami
dengan mengahwini aku dan berpura-pura baik di
hadapan ayah dan ibu.

"Selepas kita bernikah, saya haramkan awak
untuk menyentuh saya. Kita hanya berlakon di
hadapan ayah dan ibu saya begitu juga dengan
keluarga awak. Selepas setahun, awak ceraikan
saya. Ini dah termaktub dalam perjanjian kita."

Aku tidak berani memandang wajah Harriz ketika
kami berjumpa buat pertama kalinya di sebuah
restoran. Aku akui, Harriz memang tampan
orangnya malah lebih kacak daripada Izham.
Sedikit sebanyak hati perempuan aku mulai cair
namun aku pantas melarikan fikiranku pada
perkara yang lain. Harriz merenung aku tanpa
berkelip mata. Aku gelabah. Langsung tidak
dibaca perjanjian MOU yang aku letak di
hadapannya. Sakit hati aku dibuatnya ketika itu.
Aku kuatkan semangat untuk memandang Harriz
dan cuba berlagak serius.

"Tuhan kurniakan mata untuk melihat apa yang
ada di hadapan kita. Saya dah letakkan fail
perjanjian kita di hadapan awak. Takkan awak tak
tahu nak menggunakan mata awak tu untuk
melihat apa yang patut?" Aku memerli Harriz. Dia
cuma tersenyum. Masih tidak puas menatap
wajah aku. Seluruh pelusuk wajahku dijajahnya.

"Memang Tuhan anugerahkan mata untuk melihat.
Sekarang, saya sedang melihat satu lagi anugerah
Tuhan yang diberikan kepada saya. Kecantikan
yang tidak pernah saya bayangkan, tapi sekarang
baru saya tahu bahawa sungguh indah alam ini
dengan adanya wanita secantik awak, Nurul Ain Bt
Hamdi..." Ungkapan pertama keluar dari mulut
Harriz.

Aku tersedak, hampir tersembur fresh orange yang
sedang kuminum. Pantas tanganku mencari tisu di
dalam beg tangan. Harriz masih tersenyum. Merah
padam muka aku menahan malu. Bijak sungguh
Harriz bermain dengan kata-kata. Aku hampir
terpedaya dengan pujiannya. Ahh...Lelaki,
semuanya sama...

"Tapi sayang, awak tidak menggunakan
kecantikan awak itu untuk melambangkan hati
awak. Buat pengetahuan awak, saya ini bukanlah
seperti apa yang awak bayangkan. Niat saya
ikhlas untuk memperisterikan Nurul Ain Bt Hamdi.
Jangan kerana awak kaya dan hidup mewah, awak
takut saya akan merampas semuanya itu dari
tangan keluarga awak. Terus terang saya katakan,
seandainya awak ini adalah gadis cacat yang
kudung tangannya atau bisu mulutnya saya tetap
akan mengahwini awak walau awak miskin
sekalipun.

"Bagi saya, harta boleh dicari tapi cinta yang tulus
suci hanyalah wujud sekali dalam hidup kita dan
awak adalah wanita yang berada di dalam hati
saya sekarang sehinggalah saya tidak bernafas
lagi di atas bumi bertuah ini." Harriz tersenyum
lagi.

Aku pula tergamam. Macam mana dia boleh
mengenali aku sejauh begitu. Kata-katanya
kedengaran seolah-olah kami pernah berjumpa.
Tapi, aku rasa tidak kerana inilah kali pertama aku
melihat wajahnya. Sungguh pelik orang ini. Harriz
membuka fail biru itu. Tanpa dibaca walau sebaris
ayat pun, dia mengambil pen dari poket bajunya
lantas ditandatangani MOU tersebut.

"Awak tak berniat nak baca MOU itu sebelum
awak sign?" Aku memberanikan diri untuk
bertanya pada Harriz. Sekali lagi dia memandang
aku dengan pandangan yang penuh bermakna
baginya.

"Kalau saya baca, adakah niat awak itu akan
berubah untuk menerima saya bagaimana
ikhlasnya saya menerima awak?" Terperangkap
lagi aku dengan kata-katanya. Entah kenapa di
mana hilangnya marah aku dan semangat aku
ketika itu. Lelaki ini benar-benar lain. Tidakkk!!.....
Aku bukan mudah untuk menerima dia. Cinta aku
pada Izham masih kuat. Harriz bangun. Air
minuman yang dipesan tidak disentuh, masih suci
sepertimana aku.

"Assalamualaikum...." Itulah kata-kata terakhir
yang diucapkannya sebelum meninggalkan
restoran itu. Aku terpinga-pinga. Pelik dan aneh
lelaki ini. Sebelum aku berjumpa dengan Harriz,
terlalu banyak kemusykilan tentangnya yang
berlegar-legar di dalam fikiran aku. Kini pada
pertemuan pertama kami, semakin bertambah
kusut fikiran aku memikirkan tentang Harriz.
Siapakah dia sebenarnya? Apakah yang dia mahu
daripada aku? Atau adakah dia memang benar-
benar tulus mencintai aku. Ahhhhh....makin difikir,
makin pening aku dibuatnya.

***********************************************************


Kini, telah hampir seminggu aku menjadi isteri
kepada seorang lelaki yang tidak aku cintai. Majlis
perkahwinan yang diadakan amat meriah tetapi
aku tidak merasai keseronokan itu. Mungkin Harriz
juga begitu. Perhubungan aku dan Harriz memang
terbatas. Itu adalah syarat aku sendiri sebelum
Harriz melafazkan akad nikah. Kami hanya
berpura-pura mesra di hadapan ibu dan ayah tetapi
di sebalik tabir kehidupan kami, tidak wujud
kemesraan tersebut. Harriz benar-benar memberi
kerjasama yang baik. Kadangkala simpati aku
menjengah di hati kecilku. Pernah aku menasihati
dia supaya melepaskan aku sebelum tamat
kontrak perkahwinan kami tapi Harriz bukanlah
lelaki yang senang dipujuk rayu.

"Saya seorang yang menepati janji. Walau hati ini
berat untuk berpisah dengan awak, saya tetap
akan patuhi syarat awak bahawa kita hanya
bercerai selepas tamat tempoh kontrak. Awak
sendiri tahu bagaimana perasaan saya pada awak.
Tidak munasabah andai saya menceraikan awak
sekarang. Kalau boleh, saya mahu takdir
membuka pintu hati awak untuk menerima cinta
saya dan menyayangi saya sebagaimana tulus
dan sucinya cinta saya terhadap awak."

Tiba-tiba Harriz memegang tangan kananku ketika
aku sedang mengikat rambut lantas diciumnya
perlahan seolah-olah aku ini bagaikan puteri yang
sedang berhadapan dengan rakyat biasa. Berderau
darahku ketika itu. Aku menjarakkan diri. Bulat
mataku memandangnya. Tanpa segan renungan
Harriz semakin tajam memandang ke arah aku.
Aku gementar. Rasa marah dan geram wujud
dalam diri ini. Harriz cuba untuk memperdayakan
aku dengan kata-kata manisnya.

"Tolong jangan bersikap kurang ajar! Sudah cukup
selama ini saya bertahan dengan sikap dan
perangai awak!! Awak jangan umpan saya dengan
kata-kata manis awak tu. Saya tak akan
terpengaruh. Kontrak tetap kontrak. Biarpun
setahun atau dua tahun atau selama-lamanya,
saya tidak akan mencintai awak atau belajar untuk
menyintai awak!!

"Cinta saya hanyalah untuk Izham. Awak tahu
bukan? Izham lebih dahulu hadir dalam hidup saya
tapi awak merosakkan segala-galanya dengan
memperalatkan ayah dan ibu saya. Saya bukan
macam mereka. Itu sahaja yang awak perlu tahu!!"
Bentakku tiba-tiba dengan penuh berani.

Aku sendiri terkejut dengan tindakan aku. Dari
mana aku dapat kekuatan untuk melawan
perasaan aku? Aku memaling ke arah lain. Terasa
semangat untuk mempertahankan diri wujud dalam
diri ini. Mungkin kerana rindu aku pada Izham
semakin kuat dan kesalahan aku pada Izham juga
berat. Harriz hanya diam. Sedikit sebanyak
nampak juga perbezaan di raut wajahnya yang
mungkin terkejut dengan kata-kata amarahku yang
tiba-tiba.

"Maafkan saya kerana buat awak marah. Saya tak
ada niat untuk menyakitkan hati awak, Nurul Ain.
Saya harap kita masih boleh jadi kawan," ringkas
sahaja kata-kata Harriz kali ini. Aku masih tidak
memandang wajah Harriz.

"Nampaknya dah masuk waktu solat Isyak
sekarang. Mari, kita berjemaah," pelawa Harriz
lembut. Aku memandang wajahnya. Dia
tersenyum, "Saya tunggu di bilik." Harriz berlalu
pergi meninggalkan aku di ruang tamu. Perasaan
marahku sudah reda. Malu pun ada bila
mengenangkan kembali kemarahan aku yang
berapi-api itu. Nampaknya Harriz masih boleh buat
muka selamba sedangkan sudah berbakul-bakul
aku memarahinya sepanjang dia duduk di
rumahku.

Tidak tahu bagaimana lagi untuk aku mewujudkan
rasa benci dalam diri Harriz supaya dia membenci
aku. Kini, perkahwinan kami sudah hampir 3
bulan. Ayah dan ibu pula sudah bertanya tentang
keadaan kesihatan aku. Itu tidak lain dan tidak
bukan mesti berkaitan dengan hal anak.
Bagaimana aku nak memberitahu mereka bahawa
aku ini masih suci lagi. Harriz tidak pernah
menyentuh aku walaupun dia berpeluang. Dia
benar-benar mengikut segala kontrak yang ditulis
oleh aku itu supaya tidak menjalinkan apa sahaja
hubungan dengan aku. Aku bertambah bingung.
Segala apa yang aku lakukan semuanya tidak
menjadi. Harriz masih lagi menyayangi dan
menyintai aku. Aku dah tak tahu nak buat apa.
Aku rindukan Izham di saat-saat begini. Aku
kesunyian. Tanpa Izham aku rasa kehilangan.
Kadangkala aku nampak bayangan Izham dalam
diri Hariz. Sampai bila aku mampu bertahan.
Harriz terlalu baik terhadap aku. Hanya perempuan
gila sahaja seperti aku yang tidak jatuh cinta
padanya setelah pelbagai cara dia lakukan untuk
menambat hati aku. Aku juga manusia biasa.
Cinta akan datang dan pergi sesuka hati dalam
hidup ini. Apakah perasaan aku terhadap Harriz
sekarang? Aku semakin bingung dengan
kehidupan yang aku lalui kini.

Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Aku tiba lewat
di rumah. Tapi, bukan kerana banyak kerja di
pejabat cuma aku sengaja pulang lambat supaya
Harriz menyangka aku perempuan yang selalu
balik lewat malam kerana puas berseronok di luar.
Terjengket-jengket kaki aku melangkah masuk.
Suasana gelap menyelubungi rumah banglo dua
tingkat pemberian hadiah ayah sempena
perkahwinan kami. Mujurlah hanya aku dan Harriz
yang tinggal di sini. Kalau tidak, tentu aktiviti kami
akan terbongkar lebih awal. Minta-minta Harriz
akan memarahi aku kerana pulang lewat. Aku
berjalan perlahan-lahan menuju ke tangga tapi aku
telah terlanggar sesuatu yang besar di hadapan.
Hampir terjatuh aku dibuatnya namun, mujur ada
seseorang yang sempat memaut pinggangku
supaya tidak terjatuh. Berderau darah dibuatnya.
Lampu ruang tamu dipasang...

Aku tergamam. Pinggangku masih lagi dipaut oleh
Harriz. Mata bertentang mata. Hampir beberapa
saat aku tidak bercakap. Tersedar dari lamunan,
aku pantas menolak Harriz ke tepi. Wajahku mula
berubah. Merah padam jadinya. Marah bercampur
malu benar-benar ada dalam diri aku sekarang

"Awak ni kenapa?!! Macam pencuri!! Nasib baik
saya ni tak ada sakit jantung. Dah pukul 2.00 pagi.
Awak tak reti-reti nak tidur?" Aku memarahi Harriz.

"Saya tunggu awak...."

"Tak payah nak tunggu-tunggu. Saya ni bukannya
budak kecik lagi. Saya tahu pukul berapa saya
nak balik. Awak ni orang gaji saya ke?"

"Awak dah makan? Hari ni saya masak lauk
kegemaran awak, masak lemak cili api ikan keli.
Awak mesti suka. Mari makan sama, saya tak
makan lagi ni."

Harriz mempelawa aku. Masak lemak cili api ikan
keli? Terliur aku dibuatnya. Aku memang tengah
lapar gila ni. Maklumlah, satu hari aku tak makan
apa. Tengah hari tadi tak keluarpun sebab kerja
banyak. Petang pula ada mesyuarat. Bila dah
habis kerja, aku pulak yang sengaja balik lewat
hanya semata-mata nak nak sakitkan hati Harriz.
Sampai pukul 1.30 pagi aku duduk di pejabat. Tak
terfikir nak makan pun. Sekarang, dah lapar.
Bodoh betul aku. Takkanlah aku setuju nak makan
dengan dia. Habislah rancangan aku nak bagi dia
marah.

"Awak ni pandai masak ke? Saya ni memilih
orangnye. Takpelah saya dah kenyang. Dah
makan kat luar pun. Awak nak makan, awak
makanlah sorang."

Aku pura-pura menguap di hadapannya "Ahh..
ngantuknya.."

"Saya tahu awak belum makan lagi. Awak tentu
lapar." Harriz terus menuju ke ruang makan. Dia
membuka tudung saji dan menyendukkan nasi
untuk aku dan dirinya sendiri. Beria-ia benar dia
mengajak aku. Macamana dia tahu aku tak
makan? Aku masih lagi tercegat di antara ruang
tamu dan ruang makan.

Sesekali aku menjeling ke arah Harriz yang
sedang leka menyiapkan makan malam yang
rasanya dah boleh jadi makan pagi. Sanggup dia
tak makan kerana menunggu aku semalaman.
Boleh percaya ke lelaki ni? Jangan-jangan dah
siap makan. Saja nak tarik perhatian aku supaya
simpati kat dia. Aku pantas menaiki tangga
meninggalkan Harriz.

"Awak tak nak makan? Tak sakit perut ke, awak?
Nanti, kalau awak jatuh sakitkan susah..." Harriz
menasihati aku. Langkahku terhenti.

"Awak tak faham bahasa Melayu? Kan saya dah
cakap, saya dah kenyang. Kalau awak nak
makan, awak makanlah sorang. Saya nak naik
atas, nak mandi dan tidur. Awak jangan ganggu
saya!!" aku bentak keras.

"Tak pelah, saya makan dulu. Nanti, kalau awak
rasa lapar, awak makanlah ye. Pergilah awak
berehat," Harriz mengakhiri perbualan kami. Aku
terus naik ke atas dengan perut yang benar-benar
lapar. Rasa nak terbalik dunia ni. Ya Allah
laparnya. Hanya Tuhan saja yang tahu. Kenapalah
aku boleh bertindak bodoh. Dah ada orang siap
masak, aku saja yang sombong tak bertempat.
Sekarang, siapa yang merana? Bukankah aku...?

Itu baru satu keadaan di mana dia boleh bertahan
dengan sikap aku. Tapi, kali ini aku pula yang tak
tahan dengan keadaan kami apabila terpaksa
berlakon di depan ayah dan ibu sewaktu
kedatangan mereka ke rumah kami. Dari berdiri
jarak 50 meter kini dah rapat macam belangkas.
Dari muka yang masam macam cuka kini aku
terpaksa senyum meleret. Aku kena memainkan
peranan sebagai isteri dan Harriz sebagai suami
sedangkan gelaran itu memang ada pada kami.
Terasa kaku aku pada permulaan watak tetapi
Harriz bijak memainkan peranannya sebagi suami.

"Berapa lama mak dan ayah nak tinggal di sini?"
Aku mengajukan soalan sebaik sahaja ibu dan
ayah duduk di ruang tamu selepas kami menjamu
selera tengah hari itu. Percaya atau tidak, semua
masakan dimasak oleh Harriz tapi dia
memberitahu ibu dan ayah yang aku
memasaknya. Ibu tersenyum menggeleng.

"Ain...Ain... Mak dan ayah belum panas punggung
lagi dah ditanya bila nak balik. Mak ni, rindukan
anak mak. Salahke mak melawat anak mak yang
kini dah jadi isteri orang," balas ibu. Aku tertunduk
malu. Ye tak ye jugak..

"Ain ni bukannya apa mak. Dia takut mak dan
ayah balik awal. Duduklah 2-3 hari kat sini, mak.
Lama-lama pun tak apa. Kami pun berdua. Kalau
ada mak dengan ayah, taklah sunyi kami ni.."
Harriz menyampuk. Aku menjeling pada Harriz.
Nampaknya, dia ni nak mengambil kesempatan.
Ketika itu tangan kirinya sengaja memeluk
pinggangku. Aduh, geli betul. Aku tak boleh nak
tolak.

"Yelah, mak. Duduklah lama-lama kat sini. Mak
pun tentu bosan duduk kat rumah, lagipun ayah
kerja." Aku terpaksa menipu. Kalau boleh nak saja
aku menyuruh mak dan ayah balik sekarang juga.
Bukannya aku tak sukakan mereka tapi aku tak
mahu berlakon lagi.

"Tak bolehlah macam tu. Kamu dah berkeluarga.
Mak dan ayah tak nak ganggu kamu. Kami ni
datang saja nak melepas rindu. Dua hari lagi kami
baliklah."

Alamak 2 hari lagi??? Terasa seperti 2 tahun nak
menunggu mereka balik. Aku lihat Harriz
tersenyum meleret. Makin erat dia memeluk
pinggangku. Suhu di kepala aku ni dah mendidih.
Rasanya nak saja aku cekik-cekik Harriz
sekarang. Betul-betul mengambil kesempatan.
Aku pantas bangun. Semua mata memandang ke
arah aku.

"Tak pelah, mak ayah. Ain ada hal sekarang ni.
Pukul 2 petang Ain ada mesyuarat dengan
pelanggan. Nanti malam baru Ain balik. Mak dan
ayah tak payah tunggu Ain. Tak tahu pukul berapa
Ain balik."

"Hari ni kan Ahad, Ain. Takkan bekerja jugak.
Kesian kat Harriz ni. Sepatutnya, masa cuti
jangan diganggu. Kamu tu dah kahwin, dah
bersuami. Kamu kena jaga makan pakai si Harriz
ni. Kesian Harriz." Berbakul-bakul ibu membela
Harriz. Eeeee....bertambah-tambah geram aku.
Ayah hanya tersenyum. Tak banyak cakap. Malas
nak masuk campurlah tu. Pendek kata, apa saja
yang ibu cakap ayah akan setuju. Betullah mereka
ni satu kepala. Berbeza aku dan Harriz, ibarat
panggang jauh dari api.

"Ain memang ada hal petang ni, mak. Tak boleh
nak tolak. Pelanggan Ain tu dari Jepun. Dia tak
boleh lama kat sini." Aku membalas kata-kata ibu
dengan harapan Harriz akan membantu aku.

"Takpe, mak. Saya tak kisah, lagipun selama ni
tak pernah kurang kasih sayang Ain pada saya.
Lagipun saya kenal pelanggan Jepun tu. Dia
kawan lama saya masa kursus kat Tokyo dulu."
Harriz menyokong aku. Lega rasanya di hati. Aku
memandang Harriz. Dia hanya tersenyum.

Tiba-tiba saja dihulurkan tangannya supaya aku
mencium tangannya. Mahu tak mahu terpaksalah
aku bersalam dan mencium tangan Harriz.

"Saya pergi dulu, bang.." Lembut aku bersuara
meminta izin. Mak dan ayah tersenyum-senyum
memandang gelagat kami berdua. Rasa senang di
hati mereka melihatkan kemesraan aku dan Harriz
yang sebenarnya dibuat-buat.

***********************************************************


Aku terlalu rindukan Izham. Kenapa Izham tiba-
tiba sahaja menghilangkan diri. Sudah lama dia
tak menghubungi aku. Hampir 3 bulan aku tak
mendengar suaranya. Izham masih lagi di London.
Dahulu, di awal usia perkahwinan kami Izham
sering menelefon aku. Suaranya benar-benar
memberi aku semangat. Izham tahu mengenai
masalah aku dan Harriz. Dia juga tahu rancangan
aku mengenai 'perkahwinan kontrak' ini. Izham
langsung tidak memarahi aku. Dia tahu bahawa
aku menerima Harriz bukan atas dasar cinta tapi
atas dasar hormat aku pada ayah. Dia jugalah
yang menyokong aku dan katanya lagi bahawa dia
sanggup menunggu aku bukan saja setahun malah
selama hayatnya masih hidup dia sanggup
menanti aku. Aku dapat rasakan ketika itu akulah
wanita yang paling bertuah kerana dapat memiliki
cinta Izham yang betul-betul ikhlas menyayangi
aku.

Namun suara Izham hanya dapat aku dengar 3
bulan yang lalu. Di mana Izham sekarang?
Mungkinkah dia terlalu bosan menunggu dan terus
menunggu kehadiran aku dalam hidupnya? Ahh...
kalau aku jadi Izham pun sudah pasti perkara yang
sama akan aku lakukan. Satu tahun bukannya
tempoh yang singkat. Sedangkan hati boleh
berubah inikan pula penantiannya yang boleh
dianggap satu angan-angan yang tak pasti. Ini
semuanya berpunca daripada Harriz. Kadangkala
aku terlalu bencikan Harriz tetapi kehadiran Harriz
jugalah sedikit sebanyak telah mengubah hidup
aku. Tidak dapatku sangkal bahawa dia seorang
suami yang baik, dan benar-benar mengambil
berat tentang diri ini. Aku sahaja yang tidak pernah
menghargai kehadirannya dalam hidup aku. Tiada
lelaki lain selain Harriz yang tulus ikhlas
menyayangi, menyintai, dan menghormati aku.
Bila difikir-fikirkan, aku rasa bertuah kerana punya
seorang suami yang terlalu memahami aku.
Memanjakan aku seolah-olah aku ini budak kecil
yang perlu didodoi. Aku sakit dia menjadi
doktorku, aku lapar dia menjadi tukang masakku
malah bila aku terlambat ke pejabat dia sanggup
menghantarku sedangkan ketika itu dia punya
urusan lain. Tapi, kenapa mesti Harriz? Bukan
Izham?

Tiba-tiba saja hati aku terdetik, mungkinkah
jodohku memang bersama Harriz. Sisa-sisa
hayatku adalah hidup bersama Hariz sehingga aku
mati. Di mana Izham sekarang? Kenapa dia
menghilangkan diri? Sudah tiada lagi cintakah di
dalam hatinya untukku? Atau aku sahaja yang
mengangankan sesuatu yang bukan milikku.
Sedangkan sesuatu yang sudah tentu menjadi
milikku aku abaikan begitu saja. Antara Harriz dan
Izham?? Siapa yang harus aku pilih?
Ooohhh...Terlalu sukar hidup ini.

"Masih panas lagi suhu badan awak ni. Saya bawa
awak ke klinik.." Aku ingat lagi peristiwa pertama
yang mencetuskan rasa sayang aku pada Harriz
dan wujudnya rasa cinta dan kasih di hati ini pada
Harriz. Ketika itu aku demam panas. Memang aku
tak mampu nak berbuat apa-apa kerja ketika itu.
Nak bangun dari katil pun tak terdaya. Mungkin
waktu itu aku terlalu rindukan Izham dan dalam
masa yang sama aku juga sibuk dengan kerja-
kerjaku di pejabat.

"Tak pe, saya sihat. Panas sikit je. Lepas makan
Panadol, sihatlah. Awak tak payah nak risaukan
saya. Saya tahu apa yang saya buat. Awak
buatlah kerja awak. Jangan ganggu saya, boleh
tak?" Aku meninggikan suara. Tapi bukannya aku
marahkan Harriz, cuma aku tak tahan dengan
kesakitan di kepala yang aku alami. Harriz masih
tak berganjak. Dia meletakkan tangannya di
dahiku. Aku menepis dengan kuat tangan Harriz.
Berkerut-kerut dahiku menahan sakit. Aku cuba
bangun tapi tak mampu. Dengan pantas tanpa
pedulikan kemarahanku, Harriz terus
mendukungku keluar dari bilik. Aku benar-benar
terkejut dengan tindakannya. Habis tubuh Harriz
menjadi sasaran aku untuk memukul.

"Awak nak bawak saya ke mana ni ? Lepaskan
saya!!" Aku cuba menjerit tapi badan aku terlalu
lemah dan tak mampu untuk aku meninggikan
suara.

"Awak sakit di hadapan mata saya. Takkan saya
nak jadi orang bodoh untuk dengar kata-kata awak
supaya tinggalkan awak dalam keadaan macam
ini. Saya nak bawak awak ke klinik. Nyawa awak
lebih penting sekarang." Harriz....Sungguh mulia
hatimu. Aku buta untuk menilai kasih sayangmu
yang mencurah-curah mencintai diri ini sedangkan
aku terus bodoh menanti pada orang yang tak
pasti. Sedikit demi sedikit hati wanitaku mulai cair.
Sepanjang aku terlantar sakit Harriz menjaga aku
siang dan malam. Dia sanggup mengambil cuti
semata-mata untuk menemani aku. Segala makan
dan pakai semuanya Harriz yang lakukan untuk
aku, biarpun pada mulanya aku malu dengan
tindakan Harriz. Entah mengapa, perasaan benci
dan marah dalam diri ini pada Harriz berubah
menjadi kasih dan sayang pada Harriz. Aku benar-
benar terharu dengan keikhlasannya selama ini
dan aku juga bangga dengan ketabahan Harriz
yang sanggup hidup bersama aku susah dan
senang. Dia tidak pernah kisah dengan caci
makiku dan kutukan aku pada dirinya selama ini.
Kesabarannya terhadap kedegilan aku
membuatkan aku mula jatuh cinta pada Harriz.
Tetapi keegoan aku mengatasi segalanya. Aku
malu untuk meminta maaf pada Harriz walaupun
selama ini aku yang banyak melakukan kesilapan.

Aku tahu, aku seorang isteri tapi aku tak pernah
menjalankan kewajipanku. Aku gagal menjadi
isteri yang sempurna pada Harriz. Dua minggu lagi
akan tamatlah ikatan kontrak perkahwinan kami.
Sepatutnya aku boleh gembira sekarang kerana
tidak lama lagi Harriz akan melafazkan kata-kata
keramat bagi seorang isteri. Namun, kegembiraan
itu tidak dapat aku rasakan sekarang. Buat
pertama kali dalam hidup aku, aku dapat
melupakan ingatan aku pada Izham. Kerinduan
pada Izam sudah tiada lagi. Yang terbayang di
dalam fikiran aku sekarang hanyalah Harriz Bin
Hisham, seorang suami yang terlalu agung
darjatnya dalam hati aku. Aku benar-benar takut
untuk berpisah dengan Harriz. Selepas ini Harriz
bukanlah lagi peneman setia aku. Aku dapat
rasakan bahawa hidupku selepas ini akan sunyi.
Tiada lagi senyuman Harriz dan gurauan Harriz.
Ooohh..TuHAN!! Apa yang telah aku lakukan
sekarang?

"Selagi awak di hadapan mata saya dan awak
hidup bersama saya, selagi itulah kewajipan saya
sebagai suami akan saya lakukan. Biarpun dalam
kontrak tidak tertulis, namun sudah menjadi
tanggungjawab seorang suami supaya menjaga
isterinya samada dalam keadaan susah mahupun
senang. 2 minggu lagi, hubungan kita akan tamat.
Tapi, percayalah biarpun sehari malah sesaat pun,
awak tetap di hati saya. Saya tahu kebencian
awak pada saya tidak akan hilang. Begitu juga
dengan cinta saya. Ianya tidak akan pernah pudar.
Andai diberi peluang sekali lagi, saya mahu
teruskan hidup ini bersama awak Nurul Ain. Nama
awak sudah terpahat di dalam hati saya."

Harriz mengusap rambutku dengan kain basahan
sewaktu memandikan aku yang terlantar sakit.
Tiba-tiba satu ciuman diberikan di dahiku. Terasa
ingin mengalir air mata ini, namun aku dapat
bertahan. Mataku ketika itu masih tertutup.
Mungkin Harriz menyangkakan aku sedang tidur
tetapi tidak sebenarnya. Segala kata-kata luahan
hati Harriz dapat aku dengar cuma aku tidak
berani untuk menatap wajah Harriz ketika itu.
Harriz, kenapa kau terlalu baik pada diri ini yang
seharusnya tidak layak untuk berada di hatimu
yang suci itu. Aku tidak mampu untuk menyintai
seperti mana engkau menyintai aku. Andai engkau
dapat mendengar luahan hati ini, berjuta-juta
kemaafan ku pohon darimu tapi untuk
meluahkannya hati aku amat berat. Aku malu
sebenarnya Hariz. Terasa kecil diri ini di hadapan
matamu Harriz.

"Kenapa awak menerima saya untuk menjadi isteri
awak sedangkan sebelum ini kita tidak pernah
berjumpa. Awak tak pernah mengenali saya, tapi
awak sanggup berkahwin dengan saya. Bukankah
itu satu tindakan yang bodoh namanya?" Aku
memberanikan diri untuk bertanya pada Harriz
sewaktu kami menjamu selera di sebuah restoran
selepas balik dari berjumpa dengan ibu dan ayah.
Harriz tersenyum. Dia memandang aku. Aku jadi
kaget.

"Soalan itu rasanya sudah saya jawab sebelum
kita menjadi suami isteri lagi. Nama awak
sebenarnya sudah lama terpahat di dalam hati
saya. Hampir dua tahun saya mengenali awak
sebelum saya berjumpa dengan awak." Harriz
sengaja menoktahkan ayatnya di situ supaya aku
semakin keliru. Kali ini aku yang memandang
wajahnya dengan seribu pertanyaan di kepala.

"Dunia ini tidaklah sebesar mana. Tuhan
mentakdirkan hidup saya supaya bertemu dengan
awak bukan di bumi Malaysia. Saya juga pernah
belajar di luar negara dan sama universiti dengan
awak." Aku ternganga. Ligat otakku mengingati
semula wajah-wajah pelajar Malaysia yang pernah
aku jumpa di London. Rasanya tiada langsung
wajah Harriz yang pernah aku jumpa. Betulke dia
ni atau sengaja nak memainkan aku?

"Setahu saya pelajar Malaysia tidaklah sebanyak
mana pun, tapi kenapa saya tak pernah berjumpa
dengan awak? Awak jangan nak bergurau dengan
saya." Aku seakan tidak percaya. Benarkah apa
yang Harriz cakapkan sebentar tadi?

"Saya belajar part time. Awak memang tidak akan
perasan saya. Saya belajar waktu malam, tapi
awak dan Izham selalu datang makan di restoran
tempat saya bekerja. Ingat tak Caf? Bistroze?
Saya jadi pelayan bar di situ.

Maklumlah, saya ni orang miskin, tak mampu nak
belajar sepenuh masa. Siang saya bekerja dan
malam saya belajar. Ketika itulah saya sempat
mengenali awak." Harriz menamatkan ayatnya di
situ. Dia menghabiskan minuman. Aku terdiam.
Sungguh tak ku sangka, dunia ini terlalu kecil.
Tuhan menemukan aku dan Harriz tanpa aku
mengenali siapa dirinya. Harriz terlalu pandai
menyimpan rahsia.

"Esok, genap setahun kita menjadi suami isteri
yang sah seperti mana termaktub dalam kontrak
yang telah saya tandatangani. Biarpun hati ini
berat untuk melepaskan awak tapi saya tidak
pernah lupa dengan janji saya.

"Melukakan hati dan perasaan awak adalah satu
dosa paling besar di mana saya tidak dapat
memaafkan diri saya sendiri. Awak terlalu suci di
mata saya. Awak tak pernah bersalah dengan
saya. Saya yang seringkali melukakan hati awak
selama ini. Saya benar-benar berharap agar awak
dapat ampunkan dosa-dosa saya." Harriz
tertunduk menahan sebak di dada.

"Terus terang saya katakan, esok adalah hari yang
paling saya takutkan. Saya dapat rasakan bahawa
esok akan mengubahkan segala takdir hidup saya
yang selama ini saya rasakan indah. Hidup
bersama awak adalah satu kenangan yang paling
manis buat saya. Segalanya berubah bila awak
hadir dalam diri saya. Awak adalah semangat
saya untuk saya teruskan hidup ini yang kian
singkat...."

Aku rasa hairan dengan kata-kata terakhir Harriz.
Apa yang dia cuba maksudkan? Hariz yang
berada di hadapan aku sekarang bukanlah Harriz
yang selama ini aku kenal. Aku dapat lihat
perubahan di wajahnya. Lain benar seakan
menyimpan satu rahsia yang tidak aku ketahui.
Aku juga dapat lihat air mata lelakinya hampir
mengalir tapi mampu ditahan.

"Awak tak pernah bersalah dengan saya. Saya
yang sepatutnya memohon ampun dan maaf dari
awak kerana dosa saya sebagai isteri adalah
terlalu besar. Saya kagum dengan awak kerana
menghormati saya dan keputusan saya selama
ini. Awak seorang lelaki yang terlalu baik dan saya
tidak layak untuk berada di hati awak. Saya
percaya, selain saya akan ada seorang wanita lain
yang akan muncul dalam hidup awak dan benar-
benar menerima cinta awak dan menyayangi awak
lebih dari segala-galanya di dunia ini."

Aku juga menahan sebak. Tidak mahu air mata ini
mengalir di hadapannya. Percayalah Harriz,
sesungguhnya hati ini telah lama engkau miliki
tapi aku tak mampu untuk berterus terang. Aku
perlukan masa. Tidak tahu berapa lama lagi. Aku
sebenarnya terlalu malu untuk berhadapan dengan
dirimu yang tulus ikhlas mencintai aku. Aku tahu,
aku bodoh selama ini kerana tidak nampak sebutir
permata yang boleh menerangi sepanjang hidupku.
Harriz hanya mampu tersenyum. Dia memegang
tanganku lantas ciuman kasihnya diberikan. Aku
dapat rasakan mungkin itu adalah ciumannya yang
terakhir sebelum kami berpisah.

"Selepas ini, saya harap awak tidak akan
hilangkan ingatan awak pada saya. Biarpun diri
saya ini hanyalah sebesar zarah di hadapan mata
hati awak, namun awak jangan lupakan saya.
Kalau boleh, biarlah berkekalan sampai ke akhir
hayat awak. Setahun adalah satu tempoh yang
singkat untuk saya lebih mengenali awak.

"Kalau Tuhan mentakdirkan umur saya panjang
ingin rasanya sekali lagi saya harungi hidup ini
bersama awak di dalam satu keadaan yang
berbeza di mana awak benar-benar mencintai saya
dan menyayangi saya sepenuh jiwa dan hati awak.
Andai terjadi, saya dapat rasakan bahawa sayalah
manusia yang paling bertuah dapat memiliki
awak." Kami bertentangan mata buat kali terakhir.
Aku jadi sayu apabila memandang wajahnya.
Takdir kami akan berubah esok. Mungkinkah ianya
terjadi....

Malam itu aku tidur di dalam seribu ketakutan.
Esok pasti akan terjadi, begitu juga dengan lafaz
kontrak akan termaktub. Ahhh..undang-undang
yang dibuat manusia. Sentiasa menyusahkan.
Takdir hidup aku esok akan ditentukan. Aku tahu
bukan sahaja aku, malah Harriz lebih merasai
ketakutannya. Dia terlalu mencintai aku. Malah
kerana cintanya itu akhirnya memakan dirinya
sendiri. Dia menghormati segala keputusan aku
kerana ikhlasnya cinta Harriz pada diri ini.
Keesokan harinya aku terlewat bangun. Tergopoh
gapah aku keluar dari bilik. Aku dapat rasakan
sesuatu...Harriz tiada di dalam biliknya. Begitu
juga dengan kereta Harriz, tiada di luar. Aku
terduduk di ruang tamu. Terlalu cepat Harriz
meninggalkan cintanya. Tidak sempat untuk dia
berkata sesuatu pada aku buat kali yang terakhir.
Mungkin Harriz tidak mampu untuk berhadapan
dengan aku. Kontrak perkahwinan terletak kemas
di atas meja. Aku dapat lihat sepucuk sampul
surat berwarna biru di atas kontrak tersebut. Hati
aku berdebar-debar. Semakin lama getaran di
dadaku semakin terasa. Tanganku menjadi sejuk.
Menggigil-gigil jari jemari ini untuk menyentuh
surat tersebut. Lama aku perhatikan surat Harriz.
Aku tak sanggup nak buka kerana aku tahu segala
keputusan semuanya berada di dalam baris-baris
ayat surat tersebut. Aku takut, namun, aku
pasrah. Ia kehendak Tuhan dan hati aku sendiri.
Aku harus menerima segala keputusan dengan
tenang.

Lagipun selama ini itulah yang aku minta pada
Harriz biarpun Harriz berat untuk melakukannya.
Dengan lafaz Bismillah aku membuka lembaran
surat tersebut dan akhirnya....

"Bahawasanya saya HARRIZ BIN HASHIM dengan
ini menceraikan NURUL AIN BT HAMDI dengan
talak satu. Segalanya adalah mengikut kontrak
perkahwinan yang telah kami tandatangani iaitu
bertarikh 30 DISEMBER 2002 "

-HARRIZ BIN HASHIM-

Dia benar-benar melakukannya...Pertama kali air
mataku mengalir. Aku kini bukan milik Harriz lagi.
Tahniah untuk diriku sendiri kerana permainkan
undang-undang Tuhan dan natijahnya aku yang
terima sekarang. Ooohh..Harriz. Kenapa kau
berlalu pergi begitu saja. Tiada langsung ucapan
selamat tinggal yang keluar dari mulutmu. Kenapa
hatimu terlalu lembut? Kenapa kau tidak memujuk
aku supaya jangan berpisah ? Andai ianya berlaku
sudah pasti aku tak mahu engkau meninggalkan
aku. Aku mula menyayangi dirimu Harriz.. Benih-
benih cinta dan kasih dalam diri ini pada Harriz
sudah bercambah tapi aku tak mampu untuk
tunaskannya...

**********************************************************

Hampir 2 bulan selepas perceraian kami aku tidak
pernah bertemu dengan Harriz. Dia menghilangkan
diri begitu sahaja. Aku tidak tahu ke mana Harriz
membawa diri. Sudah puas aku mencari tapi
Harriz tidak juga aku temui. Aku sudah bernekad
bahawa aku mesti mencari Harriz. Aku ingin
mengikat semula tali perhubungan kami yang
terputus. Aku telah bersumpah bahawa tiada lelaki
lain selain Harriz yang boleh menjadi suamiku.
Aku ingin bina semula istana cinta kami yang
telah aku runtuhkan dahulu disebabkan kebodohan
aku. Tapi, di mana aku nak mencari Harriz? Sudah
merata tempat aku pergi. Telah pelbagai cara aku
lakukan namun gagal. Adakah sengaja Harriz tidak
mahu berjumpa dengan aku? Terlalu besarkah
dosa aku padanya?

Ibu dan ayah sudah tahu mengenai perceraian aku
dan Hariz. Mereka benar-benar terkejut dengan
tindakan kami pada mulanya. Ayah marahkan aku,
begitu juga ibu. Aku tahu aku yang bersalah.
Namun marah mereka tidak lama kerana mereka
tahu takdir sudah tertulis bahawa aku dan Harriz
tidak boleh kekal bersama cuma mereka kesal
dengan sikap dan perangai aku yang tidak pernah
berubah. Aku terlalu degil dan sukar untuk
dibentuk. Tapi itu dulu, sebelum kehadiran Harriz.
Sekarang, aku bukan seperti aku yang dulu. Harriz
telah mengubah pendirian aku. Dialah punca
segala-galanya. Dia jugalah yang telah membuka
pintu hati ini untuk mengenal apa itu erti cinta,
kasih, sayang dan rindu.

Aku terlalu rindukan kehadiran Harriz di sisi. Cinta,
kasih dan sayang pada Harriz semakin hari
semakin bertambah. Nama Izham terus hilang dari
ingatan aku. Dia bukanlah lelaki yang boleh
dipercayai. Segala kegiatan jahatnya terbongkar
apabila satu hari aku terbaca diari Harriz yang
tertinggal di rumahku selepas Harriz
menghilangkan diri pada pagi yang keramat itu.
Setiap detik dan hari sudah pasti ada kisah aku
dan Izham di London tertulis di dalam diarinya.
Dari situlah aku tahu, Izham bukanlah seorang
lelaki yang jujur. Dia banyak memainkan perasaan
wanita seperti aku. Sampai sekarang Harriz tidak
tahu bahawa aku telah membaca diarinya. Segala
isi hatinya dan perasaannya pada aku ditulis
dalam diari itu. Barulah aku tahu memang Harriz
lebih mengenali aku daripada aku mengenali diriku
sendiri. Dia begitu hebat di hati aku kini.
Harriz.....Di mana kau sekarang...

Suatu hari, aku dapat berita yang rasanya boleh
meluruhkan jantung aku di saat itu jua. Berita
tentang orang yang sangat-sangat aku ingin
jumpa. Akhirnya dapat juga aku mendengar berita
tentang Harriz tetapi malang kerana ketika itu aku
berada di luar negara menguruskan perniagaan
ayah yang ada masalah. Aku menggantikan kerja-
kerja Harriz kerana Harriz bukan sahaja berpisah
dengan aku malah jawatannya sebagai CEO di
syarikat ayah juga turut dilepaskan. Ibu yang
menelefon aku ketika itu mengkhabarkan berita
tidak baik tentang Harriz. Harriz kini berada di wad
jagaan rapi (ICU). Harriz sakit kuat sekarang.
Begitulah kata-kata terakhir yang sempat aku
dengar dari ibu kerana perbualan kami terputus
disebabkan cuaca buruk di New Zealand yang
ketika itu mengalami musim sejuk. Aku tidak
dapat menghubungi ibu untuk mengetahui berita
selanjutnya tentang Harriz. Aku menangis semahu-
mahunya. Aku ingin pulang segera tapi semua
penerbangan dibatalkan untuk beberapa hari
kerana cuaca buruk. Aku takut andai aku akan
kehilangan Harriz dan aku tak sanggup untuk
mendengar berita kehilangan Harriz sekali lagi.
Harriz...Ya Tuhan, selamatkan Harriz.

Andai ada jodohku bersama Harriz, pertemukanlah
kami di bawah limpahan rahmat kurniamu... Aku
tidak dapat tidur lena selepas mendengar berita
Harriz. Setiap waktu yang berlalu aku
terkenangkan Harriz. Bagaimana keadaan Harriz
sekarang? Jariku tidak putus asa ligat mendail
nombor telefon ibu, namun tidak berjaya. Setiap
saat degup jantung ini dapat aku rasakan semakin
laju. Semuanya kerana mengenangkan keadaan
Harriz. Mungkin sekarang Harriz amat memerlukan
aku berada di sisinya tapi aku tak boleh Harriz.
Kita terpisah dengan benua dan lautan. Aku jauh
darimu tapi hati ini terlalu dekat padamu. Andai
kau dapat mendengar suara hati ini, ingin aku
katakan bahawa di saat ini aku sentiasa
mendoakan agar dirimu selamat dan dijauhkan dari
segala kesulitan hidup.

Akhirnya malam keramat itu telah merubah takdir
hidupku sekali lagi. Tidak dapat aku lupakan,
bagaimana sayunya suara ibu menyampaikan
berita yang paling takut untuk aku dengar.
Mungkin ini adalah balasan Tuhan di atas
keangkuhan aku memainkan undang-undang
ciptaan Tuhan selama ini. Harriz...Nama itu kini
hanya tinggal bayangan masa silam. Dia benar-
benar telah meninggalkan aku bersama
kenangannya. Harriz tidak lagi akan aku temui
sampai bila-bila...

"Maafkan ibu, Ain. Ibu tak dapat hubungi Ain dua
hari yang lalu. Harriz sudah tiada lagi di dunia ini.
Dia dah tinggalkan kita semua buat selama-
lamanya. Maafkan ibu, ibu lambat beritahu Ain.
Kanser hatinya dah semakin merebak dalam tubuh
Harriz. Dia terlalu rindukan Ain tapi dia tak mampu
untuk bertahan lama. Ibu benar-benar minta maaf
Ain....."

Kata-kata ibu tidak berupaya lagi untuk aku
dengar. Aku terasa berada di awangan. Semuanya
bagaikan halilintar yang membelah bumi. Aku
terduduk. Air mata mengalir tanpa henti. Aku
menangis dan terus menangis tanpa henti. Tidak
sempat untuk aku sujud di kakinya, memohon
ampun dan maaf. Dosa aku terlalu banyak pada
Harriz.

"Maafkan Ain, Harriz. Ain bersalah pada Harriz dan
Ain tidak sempat untuk sujud di kaki Harriz.
Maafkan Ain, maafkan Ain..." Aku menjerit sekuat
hati tapi siapalah yang mampu untuk
menenangkan aku di saat itu. Aku keseorangan.
Ibu dan ayah tiada di sisi. Hanya semangat Harriz
yang wujud dalam diri ini tapi kini Harriz
meninggalkan aku secara tiba-tiba. Aku hilang
arah tuju. Dunia dapat aku rasakan gelap. Harriz
tidak pernah menceritakan pada aku tentang
penyakitnya. Patutlah kata-kata Harriz malam itu
aku rasakan lain. Dia benar-benar maksudkannya.
Kalaulah aku tahu begini jadinya tidak akan aku
bertindak bodoh untuk berpisah dengan orang
yang ikhlas mencintai aku. Akan aku jaga Hariz
sehingga dia mengucapkan lafaz kematian di
hadapan mata aku sendiri. Tapi, itu semua telah
terlambat untuk dijadikan realiti dalam hidup aku.
Hariz meninggalkan aku di saat-saat cinta ini telah
berputik.

Kepulangan aku ke bumi Malaysia tidak membawa
apa-apa makna pada aku kerana orang yang ingin
sangat aku jumpa selama ini sudah pergi. Hanya
pusara yang tinggal untuk aku lawati. Setitis demi
setitis air mata ini jatuh mengalir tatkala aku
sampai di pusara Harriz. Aku dapat merasakan
Harriz seakan berada di sebelah aku melihat aku
mengalirkan air mata kerana meratapi
kematiannya. Harriz, jika dapat kau dengar luahan
hati ini, ingin sekali aku bermohon ampun dan
maaf padamu yang tidak pernah sempat terucap di
bibir ini biarpun ketika kita bersama. Baru kini aku
dapat menilai erti cintamu yang mendalam
terhadap diri ini. Aku terlalu angkuh dan keegoan
ini telah memakan diri aku sendiri. Sepucuk surat
yang terakhir kau tujukan untukku baru kini
dapatku baca. Meruntun hati ini tatkala aku
membaca bait-bait puisi yang engkau karangi
hanya semata-mata untukku. Aku tahu aku benar-
benar bersalah !!!.. Ikhlasnya cintamu itu tidak
setanding dengan apa yang ada di dalam hati ini
untuk aku beri. Rendahnya martabat diri ini jika
kita dapat bersama.

Selafaz doa aku bacakan untukmu, begitu jua
jutaan kemaafan aku pohon padamu Harriz...
Sajak yang ditujukan khas buat diri ini tidak puas
aku membacanya. Sekali lagi aku menatap agar ia
dapat menenangkan aku kerana tidak dapat
melihat di saat-saat pemergianmu yang tidak
dirancang tapi telah ditentukan Tuhan.
Sesungguhnya...syurga seorang suami adalah
ketika bersama isterinya dalam susah dan
senang... Permata hati buat isteri yang disayangi
Nurul Ain Bt Hamdi...

Dunia saya sewaktu bersama awak dirasakan
amat luas.... Awak adalah anugerah Tuhan yang
tak ternilai buat saya... Biarpun cinta ini tidak
pernah wujud dalam diri awak... Namun, harapan
itu tetap ada dalam impian saya Saya sayang
awak lebih dari segalanya Saya mencintai awak
dengan setulus hati Tatkala lafaz nikah terucap di
bibir ini Memiliki awak adalah amanat yang harus
saya jaga sebagaimana Tuhan menciptakan Adam
untuk Hawa... Namun, pemergian saya tak
dirancang... Bila-bila masa sahaja nyawa ini akan
menghentikan nafasnya. Biarpun saya tiada di sisi
awak lagi Saya harap awak tidak pernah lupa akan
diri ini yang sentiasa mencintai awak...

UNTUK MEREKA YANG KEBOSANAN CUTI2 MALAYSIA INI..HUHU

4 comments:

sini-sini!